Pilihan raya Kerajaan Tempatan Kerajaan tempatan di Malaysia

Berikutan pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan sejak tahun 1960-an, pegawai-pegawai tertinggi PBT dan juga ahli-ahli Majlis yang bertindak sebagai penasihat dan penggubal undang-undang kecil di PBT, tidak lagi dipilih penduduk di sekitar kawasan PBT itu, sebaliknya oleh kerajaan negeri. Amalan ini telah sekian lama dikritik terutamanya oleh penduduk-penduduk yang tidak berpuas hati dengan prestasi PBT di kawasan mereka. Antara kritikan-kritikan itu ialah PBT tidak menjalankan tugas mereka dengan sebaik-baiknya terutamanya merancang pembangunan dengan teratur dan mampan sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas, banjir kilat, pencemaran alam sekitar dan juga kadar cukai pintu yang amat membebankan penduduk.

Suara-suara yang menyeru kepada penganjuran semula pilihan raya kerajaan tempatan telah dengan lantang cuba diketengahkan oleh pelbagai pihak terutamanya daripada parti-parti pembangkang, pergerakan-pergerakan awam dan juga ahli-ahli akademik selain penduduk-penduduk sendiri. Suara ini adalah amat lantang terutamanya di sekitar kawasan pantai barat Semenanjung dan juga di Kuching, Sarawak yang menyaksikan urbanisasi yang pesat. Malah, beberapa ahli politik daripada parti pemerintah seperti Datuk Shahrir Samad pernah turut sama menyuarakan isu ini pada tahun 2007.

Sejak Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008 yang lalu, parti-parti politik dari Pakatan Rakyat telah menyuarakan hasrat mereka untuk menganjurkan pilihan raya tempatan terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai mereka seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Antara hujah-hujah mereka untuk membawa semula pilihan raya ini ialah meletakkan tanggungjawab ke atas pegawai tertinggi PBT yang selama ini merupakan kakitangan awam kerajaan negeri yang tidak dilantik oleh penduduk di sekitar PBT itu, selain memilih barisan ahli majlis melalui pengundian yang akan mencerminkan perwakilan secara seimbang di kalangan penduduk di kawasan tersebut.

Usaha memperkenalkan semula pilihan raya ini dijangkakan mendapat tentangan daripada kerajaan persekutuan lebih-lebih lagi dengan perlunya mendapat persetujuan parlimen untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi membolehkan pilihan raya diadakan semula. Sehingga pilihan raya boleh diadakan, kerajaan-kerajaan negeri terutamanya di kalangan Pakatan Rakyat telah melantik ahli-ahli majlis PBT di kalangan tokoh-tokoh dan aktivitis-aktivis setempat bagi menyeimbangkan pandangan di kalangan penduduk sekitar yang akan dapat memberikan maklumat berguna bagi pentadbiran sesebuah PBT.